‘A’ UNTUK ALLAH, AGAMA, ALQURAN, AKHLAK DAN ADAB

Tak guna jika cemerlang semua mata pelajaran tetapi anak masih tidak kenal siapa penciptanya yang memberikan nyawa, roh dan kebijaksanaan untuk hidup berkhidmat kepada agamaNya.

Awwalul Deen (Awal agama) ialah makrifatullah (mengenal Allah). Untuk Allah dan agama adalah satu perkara yang berkaitan. Allah adalah pencipta, pengatur untuk sekalian alam, sedangkan agama adalah sistem dan aturan cara hidup berjemaah di dunia ini.

Agama memerlukan JEMAAH. Kerana itu ada klausa “La Islam illa bil jamaah”. Tidak Islam kecuali dengan berjemaah.

Anak-anak WAJIB tahu siapa jemaah mereka. Lahirnya kita di dunia walaupun Islam secara keturunan belum mampu menjadikan Islam dari segi ILMU. Ilmu itu yang menerbitkan keyakinan kepada Allah dan agamaNya.

Menghasilkan kepercayaan kepada rukun IMAN dan ISLAM. lalu kita pun hidup dengan prinsip rukun tersebut, berjalan di dunia dengan ilmu al-quran di dada dan memastikan segala peraturan hidup dilaksanakan setiap masa di mana saja kita berada.

Hidup berpandukan hidayah (al-quran) petunjuk ini yang mencipta kita menjadi insan berperaturan dan ada pengatur di dalam segenap tujuan hidup. Bukan hidup semata-mata mahu hidup, berkeliaran di dunia sampai mati. Langsung tidak ada matlamat dan pencapaian di dunia untuk akhirat.

AL-QURAN SEBAGAI PERLEMBAGAAN HIDUP

Tujuan diturunkan wahyu al-quran adalah untuk menghidupkan kita dengan akhlak beragama. Itulah fungsi Rasulullah yang mengubah pemikiran jahiliyah agar kembali mengenal Allah. Menyerah diri seluruhnya menjadi pengabdi kepada sistemnya mengikut rumusan rukun Islam.

Anak-anak kita hari ni mereka tidak faham petunjuk Allah di dalam al-quran kecuali ia hanyalah satu bacaan untuk mengutip PAHALA. Kita sendiri sebagai ibubapa pun tidak tahu bagaimana nak terangkan apa itu pahala kerana tidak faham tuntutan agama.

Pelajaran tentang al-quran selalu diserahkan pada ustaz dan ustazah, alim ulamak sebagai hak eksklusif mereka sedangkan agama Islam ini adalah milik seluruh manusia yang bersyahadah kepada Allah dan rasul.

Kita WAJIB tahu apa yang ustaz ustazah tahu, apa yang alim ulamak tahu kerana kitalah yang menentukan masa depan syurga neraka kita. Kalau hidup hanya menyerah diri pada manusia, kita hanya menjadi ‘penganut’ agama orang.

Hidup berdasarkan kefahaman manusia lain, bukan kefahaman diri sendiri berdasarkan al-quran di mana kita bertindak dan beramal dengan kehendak Allah. Itulah yang pakat pakai saja ikut cakap orang. Kerana kita tidak ada furqon (membezakan haq dan batil) mengikut matematik Allah di dalam al-quran.

Kita boleh hidup selama 59 tahun dengan perlembagaan manusia, tetapi tidak pernah pun bersunguh-sungguh mahu mengikut perlembagaan Allah sepenuhnya dengan faham. Perlembagaan Lord Reid kita boleh ikut dan takut. Tapi apa yang Allah tetapkan berani pula kita cabar dan ingkar. Kerana kita langsung tidak FAHAM dan MAHU FAHAM.

Bagaimana mahu banggakan Islam kita hari ini jika ADAB kita dengan Allah pun jauh tertinggal. Kenal pun tidak, buat apa yang disuruh jauh sekali. Tinggalkan apa yang di larang? Yang dilarang itulah paling kita suka buat.

Bila adabnya hilang, jadilah manusia yang biadab!

Biadab terhadap Allah dan Rasul.
Biadab kepada agama Islam.
Biadab sesama insan.

Kita pun semakin mundur dengan akhlak dan adab walaupun semakin maju dengan sains dan teknologi.

Kita gagal sains sosial kerana kerana tidak faham sains gunaan (applied science) kitab dan sunnah.

2017 TAHUN BARU, BAKAL LAHIR AGAMA BARU

Agama itu satu cara hidup. Nak kenal seorang itu agama Islam atau tidak, lihat pada cara hidupnya. Halal dan haram menjadi garisan hitam dan putih untuk kita kenali siapa ahlinya.

Hari ini generasi kita hidup dengan istilah kubur masing-masing. Pantang ditegur dan tak mahu diajar untuk mengenal Allah dan Rasul. Pendidikan Islam di sekolah hanya jadi subjek wajib memenuhi masa dan jadual waktu sekolah.

Kefahaman di dalam kelas tak mampu dibuktikan diluar waktu sekolah. Bertudung kerana peraturan di sekolah, bukan pendidikan dari rumah.

Generasi akhir zaman bakal di hidang dengan pelbagai ragam manusia dengan kemunculan ‘cara hidup’ yang lebih mencabar dan sofistikated. Mahu melencongkan aqidah mereka kepada sembahan manusia.

Fitnah dihujung zaman ini semakin mencabar, harapan pada semua warga pendidik, terutamanya para guru yang menjadi tonggak dan tulang belakang kepada sistem pendidikan negara agar kuat dan tabah dengan segala kerenah pelajar.

Peranan ibubapa adalah sebagai SEKOLAH PERTAMA yang memperkenalkan anak-anak kepada sistem Allah bermula dari rumah mereka sendiri. Jika di rumah sudah gagal dididik dengan hukum dan hudud Allah, jangan kita hairan kalau anak-anak generasi ini menjadi jin, jembalang dan syaitan yang merasuk kawan-kawan mereka menjadi hantu jalanan.

Cabaran sebagai ibubapa bakal diteruskan dengan ujian mengukuhkan kefahaman anak-anak dengan asas al-quran dan sunnah yang TULEN. Mengenalkan mereka kepada Allah dan rasul, bukan sekadar pada mulut tetapi mampu hidup sebagai ‘kakitangan’ Allah untuk mencegah perkara KEJI dan segala KEMUNGKARAN umat manusia akhir zaman sedang hadapi.

Itulah tugas hakiki kita sebagai KHALIFAH.

 

**Kredit kepada penulisan Ustaz Shauqi Hasan.

Comments

comments